Tuesday, 13 December 2011

Kata Kerja

Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).

Kata Kerja Transitif

Kata kerja transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat yang menggunakan kata kerja transitif mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.

Kata Kerja Transitif Aktif

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.

Kata Kerja Transitif Pasif

Kata kerja transitif pasif ialah kata kerja yang disertai oleh objek, dan ayatnya berbentuk pasif. Kata kerja transitif pasif menggunakan imbuhan di-.
Penyambut Kata Kerja Transitif Pembuat
Radio itu didengari Atan
Burung itu ditangkap oleh seekor kucing
Sayur itu dijual oleh seorang perempuan
Ikan itu dijala oleh Pak Abu
Surat itu sedang ditulis oleh bapa

Kata Kerja Tak Transitif

Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap' dan kata kerja tak transitif tak berpelengkap.

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap

Kata kerja ini memerlukan pelengkap. Pelengkap merupakan kata atau frasa yang melengkapkan ayat supaya tidak kelihatan tergantung dan bukannya satu objek (penyambut).
Pembuat Kata Kerja Tak Transitif Keterangan
Kami mandi di tasik
Dia senyum semasa berjalan
Air sungai beransur surut

Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap

Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut mahupun pelengkap. Selalunya berada di hujung ayat.
Pembuat Kata Kerja Tak Transitif
Rumahnya roboh
Radio itu berbunyi
Turunnya Union Jack itu,
Jalur Gemilang pula
berkibar

Kata nama

Kata Nama Am

Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum seperti dalam contoh di bawah:
orang: ayah, polis, perempuan dll.
haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau dll.
Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata Nama Khas

Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang. Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.

Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh perkataan ditunjukkan seperti di bawah:
benda: Sri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Kata Ganti Nama

Untuk rencana lanjutan, lihat Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).
Kata ganti diri pula terbahagi kepada tiga:
diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya

Kata Nama Terbitan

Untuk rencana lanjutan, lihat Imbuhan Kata Nama
Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang membentuk kata nama terbitan boleh diletakkan di awal kata ( awalan ), di akhir kata ( akhiran ), di awal dan di akhir kata ( apitan ) dan diselitkan di tengah perkataan ( sisipan).